Home Semasa 6 daerah di Selangor dikenakan PKP mulai 6 Mei ini

6 daerah di Selangor dikenakan PKP mulai 6 Mei ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 6 daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 6 daerah yang terlibat ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri berkenaan.

Sehingga hari ini, Selangor telah mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April lalu.

“Setelah meneliti pembentangan, kerajaan Selangor serta merujuk kepada kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan data HIDE oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), bersetuju untuk melaksanakan PKP ke atas 6 daripada 9 daerah tersebut,

“Manakala 3 lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, kesemua penduduk di daerah terlibat tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah kecuali atas urusan kecemasan.

“Premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 12.00 malam sahaja,

“Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 10.00 malam,

“Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang, manakala Bazar ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat,

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan ataupun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ismail menambah, maklumat lanjut berhubung SOP untuk PKP di 6 daerah terlibat boleh didapati di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN). –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!