Home Semasa KKM bincang dengan Kementerian Pertahanan buka hospital medan di Sarawak, Kelantan

KKM bincang dengan Kementerian Pertahanan buka hospital medan di Sarawak, Kelantan

by Bernama

PUTRAJAYA, 3 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pertananan untuk mewujudkan hospital medan di Kelantan dan Sarawak dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata dengan adanya hospital medan, kes-kes bukan berkaitan COVID-19 boleh diletakkan di hospital itu supaya bebanan di hospital-hospital yang terjejas kerana kes COVID-19 dapat dikurangkan.

“Sehingga kini kita dapati terdapat keperluan untuk mengadakan hospital medan seperti di Tawau dan juga Kelantan… maka perbincangan sedang dilakukan agar Kementerian Pertahanan boleh mewujudkan hospital medan itu.

“Hospital-hospital yang ada nanti terutama sekali untuk Unit Penjagaan Rapi (ICU) dan wad-wad kritikal dapat digunakan dan difokus kepada pertambahan kes-kes COVID-19,” katanya  pada sidang   bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan program imunisasi itu di sini hari ini.

Mengenai penambahan petugas di seluruh negara bagi mendepani COVID-19, Dr Adham berkata sejak 11 Jan, seramai 8,000 petugas dari kementerian lain digerakkan bagi membantu KKM.

Beliau berkata yang terkini, seramai 800 petugas tambahan digerakkan ke Sarawak dan Kelantan, dengan Kelantan dibuat secara pengambilan dalaman.

“Di Kelantan, petugas daripada jabatan pergigian digunakan, selain pelatih dan petugas dari Institut Latihan KKM yang mana mereka juga pakar dalam menguruskan kes-kes COVID-19 di wad kritikal dan ICU, juga telah kita gerakkan.

“Selain itu, untuk tambahan petugas, KKM telah pun mendapat kelulusan untuk menambah 11,000 petugas di semua disiplin dalam KKM dan sedang giat diusahakan supaya penambahan itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Mengulas mengenai kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1, Dr Adham berkata kes itu dikesan hasil saringan terhadap seorang warga India pada 24 April lepas di pintu masuk antarabangsa.

“Warga India itu datang ke negara kita sebelum kita buat keputusan menutup pintu masuk dari negara itu… dia telah pun dikuarantin 14 hari dan kita sedang pantau setakat ini,” katanya.

Beliau berkata untuk varian lain, sehingga kini sebanyak 48 kes varian South African B.1.351 dikesan di dalam negara, UK B.1.1.7 (lapan kes) dan Nigerian B.1.525 (dua kes).

Sementara itu, beliau berkata aktiviti rentas negeri tidak akan dibenarkan sehingga 17 Mei sehingga pengumuman seterusnya, terutama memandangkan terdapat 13 kluster rentas negeri dikesan sejak April lepas. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!