Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 1.8 juta rokok seludup di Kelantan

APMM rampas 1.8 juta rokok seludup di Kelantan

by Nurulhuda

PASIR PUTIH, 30 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan, berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok putih dalam sebuah Operasi Khas yang dijalankan kemarin.

Penahanan yang dilakukan pada 28 April itu, adalah hasil intipan dan penyamaran anggota APMM Kelantan yang mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak satu batu nautika dari muara Kuala Senok.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot itu didapati bergerak ke arah Pantai Pengkalan Datu dan kru bot sempat melarikan diri selepas menyedari mereka diekori.

“Kemudian hasil pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati, terdapat 6 kenderaan pelbagai guna (MPV) berada berhampiran dan kenderaan ini disyaki digunakan untuk mengangkut rokok yang dibawa masuk,

“Kenderaan tersebut dipercayai turut ditinggalkan apabila menyedari kegiatan mereka disedari penguat kuasa,” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi APMM.

Menurutnya, bot dan 6 kenderaan MPV tersebut didapati membawa 2 jenis rokok dengan paket berwarna hijau (satu paket 20 batang) berjumlah 1,010,000 batang manakala paket berwarna hitam (satu paket 22 batang) berjumlah 834,240 batang menjadikan jumlah rokok dirampas sebanyak 1,844,240 batang.

“Rokok putih yang dirampas dianggar bernilai RM368,848.00 manakala nilai cukai pula dianggarkan RM1,254,083.20. Nilai rokok dan cukai berjumlah RM1,622,931.20,

“Nilai bot dan 6 MPV pula dianggar berjumlah RM758,000. Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2,380,931.20,”tambahnya.

Muhd. Nur Syam menjelaskan, kejayaan tangkapan kali ini adalah hasil kerjasama berpasukan dan risikan yang telah dijalankan.

Kesemua rokok putih, sebuah bot dan enam MPV yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!