Home Politik ADUN Melor meninggal dunia

ADUN Melor meninggal dunia

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 30 Apr – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr. Md. Yusnan Yusof meninggal dunia di rumahnya di Ketereh kira-kira jam 2 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi hantaran di laman sosial rasminya sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa YB Dr Yusnan Yusof, ADUN Melor yang juga Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 2.00 pagi sebentar tadi,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Ahmad Yaakob, sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham merupakan bekas pembantu Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco sebelum dilantik sebagai ADUN Melor pada 2013.

“Semenjak dilantik sebagai Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan pada tahun 2013, beliau berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan,

“Mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!