LUMUT, 29 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama 5 kru termasuk tekong warga Myanmar di di lokasi 6.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak, kelmarin.
Pengarah APMM Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng telah mengesan sebuah bot nelayan bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh 5 orang kru termasuk tekong warga Myanmar yang berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun,
“4 daripada kru tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang lagi memiliki permit yang telah tamat tempoh,” katanya.
Tambah Shahrizan, kesemua yang ditahan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawak Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda, serta Akta Imigresen 1959/63 menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah,
“Penahanan ini membuktikan APMM sentiasa bersiap siaga menguasai undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut,” ujarnya.- airtimes.my