Home Semasa Amrin Awaluddin dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

Amrin Awaluddin dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Apr – Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu mulai 6 Mei 2021.

TH dalam satu kenyataan berkata, Amrin akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO berkuat kuasa 5 Mei ini.

Menurutnya, pelantikan tersebut dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“TH mengumumkan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 5 Mei 2021,

“Armin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menggantikan Mohd Hasyudeen yang menerajui TH sejak 1 September 2019,” jelas kenyataan itu.

Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof, berkata beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Amrin dan akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang serta membanggakan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nik Mohd Hasyudeen di atas komitmen serta usaha memajukan TH sebagai institusi Islam dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus baik.

Dalam kenyataan yang lain, LTAT turut mengumumkan peletakan jawatan Amrin sebagai Ketua Eksekutifnya, berkuatkuasa 1 Mei 2021.

Pengerusi LTAT, Tan Sri (Dr) Mohd. Zahidi Zainuddin (Bersara) dalam kenyataan berkata, Amrin telah berjaya memberikan kesinambungan dan juga pemacuan terhadap pelaksanaan Pelan Transformasi LTAT yang bermula pada awal tahun 2019.

“Dengan pengalamannya, Amrin telah berjaya memupuk budaya korporat yang prihatin serta nilai tanggungjawab yang tinggi ke arah pembentukan LTAT sebagai sebuah organisasi pengurusan dana bertaraf dunia,

“LTAT kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingannya dengan memastikan Pelan Transformasi LTAT kekal berada pada landasan yang betul,” katanya.

Dr Mohd. Zahidi turut berkata, berkat dedikasi Amrin dan warganya telah membolehkan LTAT melancarkan aplikasi ‘MyWIRA’ pada 26 April 2021 iaitu kemudahan atas talian tambahan untuk para pencarum. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply