Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT lancar aplikasi MyWIRA untuk kemudahan, keselesaan pencarum

LTAT lancar aplikasi MyWIRA untuk kemudahan, keselesaan pencarum

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Apr – Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini boleh mengases akaun peribadi di mana mereka berada menggunakan aplikasi MyWIRA yang dibangunkan oleh LTAT.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aplikasi MyWIRA yang dibangunkan oleh LTAT ini merupakan satu langkah yang amat baik untuk mendekati kumpulan sasar iaitu para pencarum LTAT walau dimana sahaja mereka berada.

Menurutnya, pada era kini, orang ramai lebih cenderung menggunakan aplikasi atas talian untuk melaksanakan transaksi.

“Contohnya seperti i-Akaun yang dibangunkan oleh KWSP atau THiJARI yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji dan sebagainya yang memfokuskan kepada urusniaga dalam talian,” katanya semasa Majlis Pelancaran Aplikasi MyWIRA LTAT di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau menjelaskan, para pencarum LTAT juga boleh melakukan semakan kadar dividen yang mereka perolehi serta jumlah dividen yang diagihkan kepada pencarum pada tahun sebelum.

“Dengan kemudahan yang ditawarkan melalui aplikasi MyWIRA ini, pencarum LTAT tidak perlu hadir ke kaunter pejabat LTAT, menggunakan kemudahan e-Kiosk ataupun melalui laman sesawang LTAT,

“Kini para pencarum boleh terus menggunakan aplikasi MyWIRA LTAT ini dimana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Apalikasi ini boleh dimuat turun di Google Play untuk telefon Android dan di App Store bagi mereka yang menggunakan produk Apple iPhone,” tambahnya.

Dengan pelancaran aplikasi itu, beliau mengajak semua pencarum LTAT samada pencarum wajib ataupun pencarum sukarela untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh LTAT ini.

Sementara itu, LTAT dalam kenyataan berkata, aplikasi MyWira adalah merupakan inisiatif terbaharu LTAT yang diilhamkan dalam Pelan Transformasi LTAT di bawah Teras Hala Tuju Strategik LTAT iaitu Teras 4: Meningkatkan Pengurusan Pihak Berkepentingan Strategik dan Teras 5: Menambahbaik Infrastruktur.

MyWIRA adalah aplikasi yang direka khas untuk kemudahan dan keselesaan para pencarum bagi mengakses penyata caruman mereka, memeriksa status permohonan pengeluaran caruman, mengakses maklumat mengenai akaun unit amanah, dan akses kepada maklumat lain seperti Yayasan LTAT, tawaran dan promosi eksklusif oleh perbadanan, anak syarikat dan rakan kongsi.

Turut hadir, Pengerusi LTAT, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Raza Mohd Sany dan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Seri Amrin Awaluddin. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!