KUALA LUMPUR, 23 Apr –Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) akan memperoleh tambahan aset baru menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pasukannya dalam menjayakan amanah yang diberi.
Pengerusi RAJD, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Chapiti Redzwan berkata, perolehan aset ini sedang dilaksanakan dan dijangka akan diterima secara berperingkat pada penghujung 2021 hingga penghujung tahun 2022.
“RAJD akan memperoleh tambahan aset-aset baharu kenderaan Jenis C (jentera berat),
“Aset yang akan diperolehi ialah Plant Transporter 30 ton, Wheel Loader Back Actor, Track Excavator (Med), Bridging Crane (Medium) dan Logistic Support Bridge (LSB),” katanya dalam Perutusan Hari Ulang Tahun RAJD ke-68, semalam.
Sementara itu, seiringan dengan keperluan semasa dan rancangan penjajaran serta mendukung pelan pembangunan Army 4NextG, RAJD terus ke hadapan melalui rancangan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Pelan pembangunan yang dirancang bermula tahun 2021 hingga 2050 adalah untuk menyokong Dasar Keselamatan dan Pertahanan Negara.
“RAJD telah melangkah kehadapan melalui rancangan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan memperkasakan pasukan-pasukan berlandaskan Tiga Prinsip dan Lima Tonggak Perintah Ulung Tentera Darat Ke-28,
“Rancangan penubuhan secara serta merta Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen dan penubuhan nukleas dua buah skuadron RAJD Medan untuk melengkapkan formasi divisyen dan briged,
“Ia merupakan rancangan masa kini untuk memperkukuhkan penstrukturan pasukan bagi membolehkan RAJD beroperasi di 2 theatre seiring dengan pembangunan TDM,” ujarnya. – airtimes.my