Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 68 tahun RAJD dukung amanat TDM beri khidmat bakti bantu kerajaan dan rakyat

68 tahun RAJD dukung amanat TDM beri khidmat bakti bantu kerajaan dan rakyat

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4P0p_Zqbpj8[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 22 Apr – Menginjak usia 68 tahun, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) terus komited mendukung amanat Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk memberi khidmat bakti dalam membantu kerajaan dan rakyat.

Pengerusi RAJD, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Chapiti Redzwan berkata, walaupun kini berada di dalam norma baru, RAJD sentiasa bersedia memberikan kerjasama dalam pembangunan dan keselamatan negara selaras dengan misi dan visi RAJD.

“Pelbagai kejayaan oleh generasi terdahulu menjadi panduan dan inspirasi untuk generasi seterusnya,

“Sumbangan di dalam 4 bidang utama iaitu Kejuruteraan Medan, Perkhidmatan Kejuruteraan Profesional, Kejuruteraan Pakar Senggara Perhubungan (Line of Comunication) dan Geospatial Pertahanan terus diberikan seiring dengan perubahan serta keperluan semasa,” katanya dalam perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun RAJD ke-68 di Kem Batu Kentomen, hari ini.

Pelbagai kejayaan oleh generasi terdahulu menjadi panduan dan inspirasi untuk generasi seterusnya, – Pengerusi RAJD, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Chapiti Redzwan. Foto: AirTimes/Firdaus

Beliau menjelaskan, RAJD turut dipertanggungjawabkan bersama-sama agensi awam lain untuk menjayakan langkah-langkah pencegahan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang telah ditentukan oleh kerajaan.

“Penglibatan di dalam Operasi Penawar (Op Penawar) sebelum ini telah memperlihatkan RAJD turut sama membantu di dalam menangani penularan pandemik ini,

“RAJD dengan kerjasama agensi awam lain telah bersama-sama menyumbang bakti memperkemas pusat-pusat kuarantin dan bantuan-bantuan kejuruteraan lain,

“Bantuan sekatan jalanraya dan proses nyah cemar di kawasan tumpuan turut dilaksanakan,” tambahnya.

Selain itu, Chapiti berkata, RAJD juga telah memberikan bantuan kejuruteraan kepada penduduk yang mengalami kesan bencana alam di dalam negara.

“RAJD dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berjaya memberikan bantuan pemasangan jambatan sementara jenis Compact Bailey di 3 lokasi iaitu Kampung Lechar, Raub; Kampung Belimbing, Maran, Pahang serta di Kampung Belum Baru di Lenggong, Perak,

“Pembinaan jambatan ini telah memberi manfaat kepada penduduk setempat dan meningkatkan hubungan dan kerjasama di antara tentera, agensi awam dan rakyat,

“Penglibatan RAJD di dalam program pembangunan negara merupakan kesinambungan dalam merapatkan hubungan antara pihak awam dan tentera. Kerjasama ini diteruskan melalui Projek Jiwa Murni setiap tahun memberikan impak positif di dalam keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Menurutnya, Rejimen ini melalui Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) turut dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek –projek pembangunan baru Rumah keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan juga menaiktaraf rumah keluarga ke arah yang lebih selesa.

“Pembinaan baru di Kem Oran, Kem Segamat dan Kem Bera bakal menyediakan penginapan kepada hampir 600 warga tentera,

“Projek-projek ubahsuai RKAT sedia ada di Kem Penrissen dan Kem Rasscom pula bakal menyediakan fasiliti yang sempurna seterusnya memberi keselesaan kepada anggota serta keluarga,

“Warga RAJD yang terlibat di dalam menguruskan projek-projek ini perlulah peka dengan kualiti dan keperluan semasa agar kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya serta TDM khususnya kekal terpelihara,” jelasnya.

Perbarisan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Shahrizan Yahya ini melibatkan 15 pegawai dan 137 anggota lain-lain pangkat (LLP).

Dalam pada itu, beliau menyeru agar semua peringkat warga RAJD sentiasa berusaha dan fokus untuk meningkatkan kesiapsiagaan serta kompetensi dalam pelaksanaan tugas seharian.

“Bagi merealisasikan aspek pengukuhan ini, tumpuan perlulah diberi kepada usaha meningkatkan kesiagaan, keselamatan di dalam menjayakan operasi, projek-projek dan latihan, tadbir urus, pengurusan serta rancangan logistik yang rapi,

“Setiap lapisan warga RAJD perlu sentiasa positif dan menghindarkan diri dari budaya serta tingkahlaku yang negatif,” tambahnya. –airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!