KUALA LUMPUR, 19 Apr – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani hari ini mengesahkan pergerakan merentas negeri yang mendapat kelulusan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, langkah diambil adalah sebahagian daripada usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang kian meningkat semenjak 4 hari lalu.
“Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan, kematian, perubatan, pendidikan dan pasangan jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan kes kematian hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik beradik sahaja.
Acryl Sani turut menegaskan permohonan pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan.
“Ini tidak termasuk bagi urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” ujarnya.
Tambahnya, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial adalah dilarang. – airtimes.my