ISKANDAR PUTERI, 16 Apr – Polis Diraja Malaysia menahan seorang pengurus bersama 4 pengawal keselamatan warga asing tanpa permit dibawah seliaannya dalam dua pemeriksaan berasingan di Mutiara Rini, semalam.
Polis Daerah Iskandar Puteri dalam kenyataan berkata, pemeriksaan pertama dijalankan pada jam 11.30 pagi ke atas 2 pengawal keselamatan warganegara Pakistan masing-masing berumur 29 dan 34 tahun gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri serta permit pengawal keselamatan yang sah.
“Seorang lelaki berumur 32 tahun turut ditahan yang merupakan pengurus kepada 2 pengawal warga Pakistan semasa berada di lokasi yang sama kerana disyaki melanggar syarat lesen agensi persendirian dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit,
“Ekoran dari tangkapan tersebut, serbuan kedua telah dibuat pada jam 11.30 malam hari yang sama dan menahan 2 lagi pengawal keselamatan warganegara Pakistan serta India masing-masing berumur 23 dan 28 tahun sedang bertugas di pondok pengawal taman perumahan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” kata kenyataan itu.
Kesemua mereka telah menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati pengurus pengawal keselamatan terbabit positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai 3 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Sebanyak 4 helai baju seragam pengawal keselamatan berwarna putih yang dipakai tertera logo dan tulisan PIKM turut dirampas. Manakala suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru bagi proses penahanan reman.
“Nasihat kepada sesiapa yang hendak melantik pengawal keselamatan agar memilih syarikat kawalan keselamatan yang menepati syarat serta merujuk kepada Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan (4) Tahun 2010, ujar kenyataan itu. – airtimes.my