KUCHING, 13 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan vaksin jenis Comirnaty Pfizer BioNtech bersama peralatan perubatan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Bintulu dan Miri, Sarawak, semalam.
TUDM dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, penerbangan telah dikoordinasikan oleh Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen).
“Penghantaran peralatan perubatan yang bermula pada jam 7 pagi itu melibatkan pesawat CN235 dari No. 1 Skn, Pangkalan Udara (PU) Kuching,
“Penugasan penghantaran melibatkan anak kapal pesawat, anggota Cawangan Pergerakan Udara PU Kuching dan tim perubatan tentera yang diketuai oleh Kapt Dr. Amirah Ramarullah Khan,” katanya.
Menurutnya, pesawat ini telah dikendalikan oleh Mejar Mohd Hafiz Mohd Hashim TUDM dan Kapten Abdul Halim Ishak TUDM selaku juruterbang dibantu oleh Kapten Amirul Afiq Roslan TUDM dan Kapten Syamsiah Abdul Karim TUDM selaku pembantu juruterbang.
Turut terlibat dalam penerbangan ini, 2 orang Kuartermaster Udara bersama 2 orang pramugari.
TUDM menambah, pihaknya akan terus komited melaksanakan penugasan penghantaran vaksin dan keperluan berkaitan sekiranya diperlukan bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dilaksanakan dengan segera mengikut masa yang ditetapkan.-airtimes.my