Home Pertahanan dan Keselamatan Pemegang Pas Lawatan Sosial tamat tempoh perlu tinggalkan Malaysia sebelum 21 Apr

Pemegang Pas Lawatan Sosial tamat tempoh perlu tinggalkan Malaysia sebelum 21 Apr

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 13 Apr – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memutuskan supaya warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh, perlu meninggalkan Malaysia sebelum atau pada 21 April ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan berita berkenaan warga asing yang memegang PLS perlu meninggalkan negara ini pada 21 April 2021.

“JIM memahami terdapat dalam kalangan pelawat asing ini yang menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara mereka atas faktor ketiadaan penerbangan dan situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara asal mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, dalam hal ini JIM telah menjumpai beberapa kes penyalahgunaan PLS oleh pelawat asing menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan.

“Antaranya mereka bekerja di pusat hiburan, rumah urut dan melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran, scammer serta lain-lain kesalahan yang melanggar undang-undang,

“Sepanjang tahun 2020 dan 2021 sehingga hari ini JIM telah menjalankan sebanyak 291 operasi penguatkuasaan ke atas premis hiburan dan rumah urut. Hasilnya seramai 1,281 warga asing dan 83 majikan telah ditahan,

“Warganegara asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini atas PLS berkenaaan hendaklah mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen,” jelasnya.

Tambah Khairul Dzaimee, jika warga asing mempunyai kekangan untuk pulang ke negara asal, mereka boleh memohon Pas Khas untuk melanjutkan tinggal di Malaysia tetapi perlu disokong oleh kedutaan masing-masing.

“Dokumen pembuktian mengenai tempat tinggal dan kemampuan kewangan sepanjang berada di negara ini hendaklah disertakan,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!