SANDAKAN, 12 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) telah menahan 3 lelaki warganegara yang membawa barangan kawalan tanpa permit di kawasan laut Pulau Nunuyan, Sabah, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan Sabah, DSP Rusdin Banin berkata, pegawai dan anggota sedang melaksanakan tugas risikan di kawasan tersebut mendapati 3 buah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan keatas bot terbabit mendapati terdapat barang kawalan bungkusan minyak masak, tong gas LPG, minyak petrol dan tepung gandum,
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM69,154.55 termasuk nilai bot yang digunakan,”katanya menerusi laman media sosial milik PPM Wilayah 4 Sandakan.
Dalam pada itu, kesemua bot yang ditahan mendapati 3 orang jurangan yang berumur 27 hingga 37 tahun berada di bot masing-masing.
“Jurangan terbabit gagal mempamerkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya,
“Kesemua suspek dan barang rampasan tanpa permit termasuk bot bersama enjin dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan,”ujarnya.-airtimes.my