Home Pertahanan dan Keselamatan Tragedi Lahad Datu, penduduk Kampung Tanduo masih trauma

Tragedi Lahad Datu, penduduk Kampung Tanduo masih trauma

by Bernama

LAHAD DATU, 11 April – Meskipun sudah lapan tahun peristiwa pencerobohan pengganas Sulu berlaku di Kampung Tanduo yang berlarutan hingga ke Tanjung Labian, Tungku dekat sini, namun penduduk setempat masih terkesan dengan tragedi itu.

Said Malandi, 70, yang menetap di Kampung Sungai Bilis, Tanjung Labian berkata tragedi itu juga membuatkan isterinya Halijah Abu Seman, 69, trauma setiap kali mendengar bunyi kapal terbang atau helikopter melintas di ruang udara kampung tersebut.

“Sehari sebelum pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas Sulu itu, kami mendapat arahan untuk meninggalkan rumah. Saya dan isteri serta dua anak lelaki ditempatkan di Dewan Embara Budi, Semai Bakti yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Tanjung Labian.

“Kami ditempatkan di dewan selama sebulan bersama-sama penduduk lain dan selepas itu, kami dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan saya sekeluarga cukup terkejut melihat dinding rumah penuh dengan kesan tembakan,” kata bekas pesara tentera itu kepada pemberita di sini, hari ini.

Said merupakan penerima bantuan bagi program baik pulih prasarana dan rumah daif di Tanjung Labian oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), sempena ulang tahun kelapan ESSCOM.

Said turut mengucapkan terima kasih kepada ESSCOM serta Markas 13 Briged Kem Cenderawasih atas bantuan membaiki rumahnya termasuk kerja-kerja menukar atap, mengecat serta menampal lubang kesan tembakan penceroboh Sulu.

Sementara itu, Staf Pusat Operasi ESSCOM, Brig Jen Hamzah Ali berkata pelbagai aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan ESSCOM sebagai usaha membina hubungan baik antara pasukan keselamatan dan komuniti setempat.

“Pasukan keselamatan memerlukan kerjasama setiap penduduk untuk mencegah ancaman dan menentukan kestabilan sesebuah kawasan. Penduduk merupakan ‘mata dan telinga’ terbaik pasukan keselamatan,” katanya.

Hamzah dalam pada itu berkata ESSCOM bercadang mengadakan bengkel keselamatan di Pejabat ESSCOM dengan penglibatan orang awam. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!