KOTA TINGGI, 10 Apr – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat pengumuman lebih awal untuk membenarkan atau tidak pergerakan rentas negeri sempena perayaan Aidilftri.
Beliau berkata, KKM akan membuat penilaian risiko terlebih dahulu dan akan memberi nasihat kepada kerajaan untuk membenarkan atau tidak pergerakan rentas negeri.
“Seperti saya sebutkan bahawa keputusan untuk membenarkan atau tidak membenarkan merentas negeri adalah atas nasihat daripada KKM apabila mereka membuat pernilaian risiko, kalau buka apa risikonya, apa kesannya jadi kita tunggu keputusan dari KKM boleh atau tidak,
“Saya tahu isu yang paling utama hari ini apabila puasa bermula, nak balik kampung sambut raya,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), hari ini.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan kuasa untuk membenarkan atau tidak adalah dari KKM yang akan membuat keputusan berdasarkan penilaian risiko yang dibuat.
“Kalau kita lihat dulu, apabila rentas negeri dibuka terdapat 31 kluster balik kampung. Oleh itu, KKM berhati-hati kali ini untuk membenarkan rentas negeri,
“Kita akan umum dengan secepat mungkin boleh atau tidak merentas negeri. Kita tidak mahu menganggu orang mahu balik kampung, hendak beli tiket bas atau kapal terbang,
“Saya akan minta dengan KKM untuk membuat pengumuman dengan lebih awal boleh atau tidak supaya orang ramai bersedia,” jelasnya. – airtimes.my