TAWAU, 6 Apr – Cubaan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk memasuki Malaysia gagal selepas kesemua mereka ditahan oleh anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di pesisir pantai jalan Tawau Lama, kelmarin.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam kenyataannya berkata, tangkapan oleh Op Cegah Pati (OCP) daratan sektor selatan ESSCOM itu dilakukan pada jam 5.15 petang selepas mendapat maklumat orang awam.
Beliau berkata, suspek terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 8 perempuan dewasa dan 3 kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 60 tahun. Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenakan diri yang sah.
“Bertindak atas maklumat, pasukan anggota keselamatan yang melaksanakan rondaan dan pemantauan OCP Sektor Selatan yang dibantu oleh 7 anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 6 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan seramai 22 orang yang sedang bersembunyi di kawasan semak di pesisir pantai Tawau lama disyaki PATI daripada Indonesia,
“Kesemua mereka disyaki baru tiba dari negara jiran dengan menaiki bot laju,
“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat polis daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63”, katanya.
Ahmad Fuad, berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong-lorong tikus iaitu laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini secara haram.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah
(ESSZONE) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE.
“Pasukan keselamatan akan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OCP dengan mengadaptasikan konsep ‘show of presence’ bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI dalam usaha untuk memutuskan rangkaian COVID-19 di dalam negara. –airtimes.my