Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat pasang kawat duri, kawal pergerakan penduduk Kampung Rimbayan, Keningau

Tentera Darat pasang kawat duri, kawal pergerakan penduduk Kampung Rimbayan, Keningau

by Nurulhuda

KENINGAU, 5 Apr – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) telah membantu Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) Negeri Sabah dengan memasang kawat berduri di Kampung Rimbayan, Keningau, Sabah, semalam.

Pemasangan tersebut adalah selaras dengan keputasan kerajaan yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 2 sehingga 15 April 2021 berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Markas Lima Divisyen Infantri Malaysia (5 Div) di dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, seramai seorang pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Rej 507 AW telah diaturgerakan bagi melaksanakan pemasangan kawat duri tersebut.

“5 Div melalui atur gerak formasi Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) telah bertanggungjawab dalam membantu NADMA Sabah bagi melaksanakan kawalan dan pemantauan ke atas kawasan berlakunya gelombang jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,

“Kerjasama yang dijalinkan mampu meningkatkan tahap kebolehupayaan dan kepatuhan masyarakat dalam bekerjasama bersama petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 ini,” jelas kenyataan itu.

Pemantauan oleh pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Keningau dan Rej 507 AW ini akan berterusan sehingga 15 April depan.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD tersebut dilaksanakan ekoran pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Menurutnya, sehingga 31 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 301 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 29 kes positif telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” jelasnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!