Home Pertahanan dan Keselamatan Salah guna permit kerja, kapal tangki minyak bersama 4 kru ditahan

Salah guna permit kerja, kapal tangki minyak bersama 4 kru ditahan

by Nurulhuda

MIRI, 3 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri telah menahan sebuah kapal tangki minyak yang mencurigakan di perairan Miri pada jarak lebih kurang 89 batu nautika barat laut dari Tanjung Lobang, kemarin.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, vesel itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika aset APMM sedang melaksanakan rondaan Operasi Permai (Op Permai) sekitar jam 12.50 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya ‘domestic ship license’ (DSL) telah tamat tempoh, tiada pelepasan pelabuhan serta tiada permit menggunakan kru warga asing,

“Kapal tersebut dikendalikan oleh 4 kru termasuk tekong berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun. 2 kru warga tempatan dan 2 lagi warga Vietnam disyaki tiada permit kerja di atas vesel Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM.

 

APMM Miri tahan dua kru warga tempatan dan dua warga Vietnam kerana tiada permit kerja di atas vesel Malaysia. Foto: APMM

Menurutnya, kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 2,000 liter itu ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana DSL tamat tempoh, Akta Kastam 1967 kerana tiada pelepasan pelabuhan dan Akta Imigresen 1963 kerana kru warga asing tiada permit untuk bekerja di atas vesel tersebut,” tambahnya.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Md. Fauzi Othman mengesa orang ramai untuk menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!