PASIR GUDANG, 1 Apr – Polis Kontinjen Johor telah menjalankan tindakan pemusnahan sebutir bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) di kawasan Jeti Nelayan Kampung Melayu, Pasir Gudang, Johor, semalam.
UXO tersebut dijumpai oleh nelayan tempatan dalam keadaan dipenuhi teritip semasa aktiviti menjaring ikan.
Sehubungan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menjalankan tindakan pemusnahan.
Polis Johor dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, pihak UPB IPK Johor mengesahkan objek tersebut adalah Artillery Shell 75mm.
Tindakan pemusnahan UXO berkenaan telah dijalankan secara In Situation (In-Situ) dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik.
Kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan kawasan tersebut bebas dari sebarang objek disyaki UXO yang lain.
Sehubungan itu, Polis Johor merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat setempat dan menggesa orang ramai yang menjumpai objek mencurigakan atau dipercayai bom agar melaporkan dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” kata kenyataan itu. – airtimes.my