KOTA BELUD, 30 Mac – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui formasi Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) telah membantu Agensi Pengurusan Bencana Negeri (NADMA) Sabah dengan memasang kawat duri di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, semalam.
Pemasangan tersebut adalah selaras dengan Perintah Kawalan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan pada 26 Mac hingga 8 April 2021 susulan peningkatan kes postif COVID-19 yang mendadak di daerah berkenaan.
Pihak 5 Div dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, seramai 2 pegawai dan 15 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) telah diaturgerak bagi melaksanakan pemasangan kawat duri tersebut.
“5 Div melalui Formasi 5 Briged bertanggungjawab dalam membantu NADMA Sabah melaksanakan kawalan dan pemantauan ke atas kawasan berlakunya gelombang jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,
“Kolaborasi yang dijalinkan mampu meningkatkan tahap kebolehupayaan dan kepatuhan masyarakat dalam bekerjasama bersama petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 ini,” jelas kenyataan itu.
Pemantauan berkala oleh pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Belud dan Rej 507 AW ini akan berterusan sehingga 8 April depan.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD tersebut dilaksanakan ekoran laporan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
Menurutnya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu seramai 9 disahkan positif COVID-19.
“Manakala, sebanyak 77 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan terdapat 7 kes positif dilaporkan di lokaliti ini,
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” tambahnya. –airtimes.my