KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang serta Kampung Batu Gong dan Kampung Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak bermula esok sehingga 9 April 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi di kesemua lokaliti tersebut.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 178 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 63 kes positif COVID-19 telah direkodkan di Taman Guru,
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kesemua lokaliti tersebut bermula 27 Mac 2021 hingga 9 April depan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Dalam pada itu, bagi Kampung Batu Gong, sehingga semalam, sejumlah 50 kes positif COVID-19 telah dilaporkan.
“Manakala 338 ujian saringan juga telah dilakukan di Kampung Chupak dan daripada jumlah itu sebanyak 57 kes positif telah direkodkan, 41 didapati negatif serta 240 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” jelasnya.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti. – airtimes.my