KUALA LUMPUR, 26 Mac – Seramai 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Op Benteng dilaksanakan bagi mengawal sempadan negara yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain turut merampas 2 kenderaan darat serta 2 buah bot.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 2 buah bot atau kapal di perairan negara serta sebuah kenderaan darat melalui 2 aktiviti penglihatan,
“Selain itu, seramai 9 orang PATI turut diusir melalui 3 aktiviti pengusiran,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata sebanyak 257 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dan Op Penawar turut dilaksanakan semalam melibatkan ATM, PDRM dan RELA dalam Op Penawar iaitu sebanyak 197 SJR.
“Selain itu, Op Benteng PDRM sebanyak 51 SJR dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak 9 SJR,” ujarnya.
Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 575 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), semalam.
“Daripada jumlah itu, 54 telah dikompaun, 53 individu direman manakala seorang dijamin,
“Antara kesalahan ingkar SOP adalah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (25); tidak memakai pelitup muka (17); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (6); tiada penjarakan fizikal (5) dan lain-lain sebab (1),” tambahnya. – airtimes.my