SUBANG, 24 Mac – Tentera Udara Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi perempuan dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, bayi perempuan, Nur Almira Auni Abdullah yang mengalami masalah jantung sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.
“Penerbangan ihsan menggunakan pesawat A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang,
“Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dan dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapten Wan Ubaidullah Wan Hanapi TUDM bersama beberapa anak kapal,
“Pesawat tersebut berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 2.50 petang dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 7.00 malam,” jelas pihak TUDM.
Turut mengiringi bayi tersebut ialah ibunya, Puan Satira Ayuh serta seorang Pegawai Perubatan, Dr. Lo Chai Ling.
Selain itu, pesawat berkenaan turut membawa pulang jenazah seorang kontraktor yang bertugas di premis PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd, Muhammad Aizat Salehudin untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kemaman, Terengganu.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di kediaman sementara di Kampung Sungai Keling, Wilayah Persekutuan Labuan pada 21 Mac yang lalu. – airtimes.my