Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat bongkar penempatan sementara PATI

Tentera Darat bongkar penempatan sementara PATI

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=aQkQeBCeG2I[/embedyt]

 

Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mengesan dan membongkar titik panas lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijadikan penempatan sementara untuk keluar dan masuk ke Malaysia.

Lokasi strategik PATI ini juga dikelilingi oleh hutan tebal dan terlindung dari aktiviti masyarakat setempat.

Tiada siapa menyangka bahawa di sebalik keindahan kawasan hutan tersebut, ianya telah diceroboh dan dipergunakan oleh tekong untuk menempatkan warga asing yang dibawa masuk atau keluar secara tidak sah dari Malaysia.

‘Penempatan sementara’

Menurut Pegawai Operasi yang mengetuai Operasi Benteng (Op Benteng) di salah satu titik panas penyeludupan PATI, kewujudan penempatan ini telah dikesan di kawasan tanggungjawab (KTJ), setelah anggota melakukan rondaan dan tinjauan secara lebih agresif.

Trup yang terlibat didalam Op Benteng telah melaksanakan rondaan secara berkala di kawasan sempadan tanah air bagi mengesan petunjuk baharu kemasukan PATI berdasarkan maklumat risikan yang diterima.

Trup yang terlibat dalam Operasi benteng telah melaksanakan rondaan secara berkala di kawasan sempadan tanah air dan menemui penempatan sementara PATI yang ingin keluar dan masuk ke negara ini. Foto: AirTimes/Firdaus

“Kami telah melaksanakan rondaan secara sistematik di kawasan sekitar dan mencari petunjuk yang baharu,

“Pihak kami berjaya menjumpai penempatan sementara PATI yang ingin keluar atau baru tiba di negara ini,” katanya.

Tinjauan eksklusif oleh Air Times di kawasan terbabit menunjukkan kawasan hutan tersebut telah dicemari dengan sampah-sarap dan barangan yang ditinggalkan oleh PATI.

Peninggalan kesemua barangan telah menjadi bukti kukuh bahawa ianya telah digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menyembunyikan warga asing yang diseludup.

Antara barang yang ditinggalkan adalah seperti barangan dapur, bagasi dan pakaian. Turut ditemui bungkusan makanan dan minuman dari negara jiran.

 

Antara pakaian yang ditinggalkan oleh PATI di kawasan penempatan sementara tersebut. Foto: AirTimes/ M.Azuwan

“Hasil pemerhatian anggota pasukan, didapati PATI yang baru mendarat akan melalui denai-denai sebelum sampai ke lokasi ini,

“Berdasarkan kesan-kesan dan barangan yang ditinggalkan, jelas membuktikan ia adalah penempatan sementara PATI sebelum mereka bergerak ke ladang-ladang berhampiran ataupun menaiki kenderaan di jalan raya utama,” ujar beliau.

‘Tukar baju menyamar jadi orang kampung’

PATI yang baru tiba, akan berenang ke pantai sebelum meredah kawasan semak samun menuju ke lokasi penempatan sementara.

“Mereka memakai pakaian yang bersih dan bersesuaian sebagai orang kampung untuk menunggu tekong darat sebagaimana dijanjikan sebelum tiba ke Malaysia,” jelas pegawai terbabit,

Kawasan ini turut dikenali sebagai zon pertukaran (exhange area),

“PATI yang ingin pulang ke negara asal mereka akan berkumpul dan bermalam di lokasi ini sementara menunggu isyarat ketibaan bot,

“Mereka perlu menunggu PATI yang baharu tiba sebelum menuju ke bot yang telah yang sama untuk pulang ke negara asal,

“PATI ini kemudiannya akan membawa pakaian dan barang yang perlu serta melalui denai yang sama untuk menuju ke pantai,” tambahnya.

Laluan dan lokasi yang digunakan pendatang asing tanpa izin sebagai penempatan sementara mereka. Foto: AirTimes/M.Daim

TDM terus komited banteras kemasukan PATI

Op Benteng merupakan inisiatif pelbagai agensi yang dilancarkan pada tahun lalu bagi memperketatkan kawalan sempadan negara dari aktiviti jenayah seperti penyeludupan dan kemasukan PATI.

TDM adalah sebahagian daripada pasukan keselamatan yang terlibat secara langsung dalam operasi yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Pegawai Operasi yang ditemui, beliau dan anggotanya berazam untuk mempertingkatkan penguatkuasaan demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Ini terutamanya selepas beberapa kejayaan yang dicapai oleh TDM semenjak operasi ini dilancarkan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!