TAWAU, 10 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 telah mengusir sebuah bot penumpang dari Indonesia kerana cuba menceroboh masuk perairan Tawau, semalam.
Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata, anggota PPM yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan Sungai Melayu telah menahan dan mengusir bot tersebut bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.
“Hasil pemeriksaan keatas bot tersebut mendapati, 2 orang lelaki dan 4 perempuan dewasa berumur lingkungan 25 hingga 40 tahun itu berstatus warganegara Indonesia,
“Bot tersebut diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 4.
Beliau turut berkata, Op Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.
“Pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut kerana kebanyakkan punca peningkatan kes COVID-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan tahanan yang positif menjangkiti tahanan lain pada sebelum ini,
“Jadi, pasukan keselamatan kini membuat keputusan menghalau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan perairan negara,” jelasnya. –airtimes.my