KOTA KINABALU, 9 Mac – Kehadiran helikopter jenis AS 555 SN Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) Teluk Sepanggar kini dapat memperkasa dan memperkukuh pemantuan keselamatan di perairan Sabah.
Skuadron 502 dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, helikopter tersebut telah tiba di PTKK dari Markas Pemerintahan Armada Barat pada 7 Mac 2021 dengan menggunakan kapal TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) MAHAWANGSA.
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya, Datuk Sabri Zali berkata, penggunaan aset udara seperti helikopter sangat efisien dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut, penyeludupan barangan asas dan pencerobohan nelayan asing ke perairan Sabah.
“Ini kerana helikopter Fennec boleh diatur gerak dengan cepat melalui pangkalan dan kapal-kapal TLDM yang sedang melaksanakan operasi terutama Op Benteng,
“Helikopter ini turut membantu mempertingkatkan keupayaan Armada kapal-kapal TLDM melalui latihan bersama pesawat seperti Deck Landing Training (DLT), Winching Exercise (Winchex), Naval Gun Fire Support (NGS) Spotter dan lain-lain lagi,” katanya dalam hantaran di media sosial Skuadron 502.
Selain itu, helikopter Fennec juga digunakan untuk latihan dan operasi bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL). – airtimes.my
Gambar galeri: