Home Semasa Pemerkasaan wanita terus menjadi agenda penting kepada pembangunan negara – Muhyiddin

Pemerkasaan wanita terus menjadi agenda penting kepada pembangunan negara – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita dan akan memastikan ia terus menjadi agenda penting kepada pembangunan negara.

Beliau berkata sambutan Hari Wanita tahun ini bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, adalah bertepatan dengan situasi negara yang masih berdepan dengan cabaran wabak pandemik COVID-19.

“Kita telah melihat kejayaan, pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang,

“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan PN sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting,

“Bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,

“Dapatan kajian menjangkakan bahawa pertambahan penyertaan 30 peratus wanita dalam pasaran buruh Malaysia mampu meningkatkan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara di antara 7 hingga 12 peratus setahun,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita 2021, hari ini.

Tambahnya, walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan dicapai, kita tidak harus berpuas hati dan  tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita terbelenggu dengan pelbagai isu.

“Isu seperti stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang-bidang tertentu kerana sering dikaitkan dengan peranan tradisi khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan,

“Kecenderungan mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja. Isu gejala sosial seperti penderaan anak, ‘sugar daddy’ dan sumbang mahram juga merisaukan kita kerana golongan wanita turut menjadi mangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang juga masih kurang diberikan perhatian sepenuhnya.

“Contohnya, saya difahamkan masih ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP),

“Sehingga Oktober 2020 hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia yang berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus ALP wanita,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata ramai wanita yang berkerjaya mempunyai beban berganda dan mereka perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa.

“Berdasarkan dapatan kajian, didapati wanita meluangkan masa lebih 63.6 peratus berbanding lelaki dalam tugasan penjagaan yang tidak berbayar,” katanya.

Isu seterusnya adalah kurangnya penglibatan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita.

“Secara tidak langsung, silent motherhood penalty dilihat seoleh-oleh menjadi suatu perihal yang diterima oleh semua pihak,” tegasnya.

Selain itu, beliau berkata tidak dinafikan pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan isu-isu berkenaan semakin kritikal dan ketara.

“Dalam hal ini, bagi menyokong pemerkasaan negara khusunya dalam fasa pemulihan negara akibat COVID-19, beberapa kemudahan diumum kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi melalui inisiatif PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, MyDIGITAL, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia serta Belanjawan 2021 yang memberi faedah secara langsung kepada wanita,” ujarnya.

Muhyiddin berkata bagi memastikan pemerkasaan wanita terus menjadi agenda penting negara, beliau menyambut baik cadangan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini.

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif,

“Dengan inisiatif ini lebih ramai wanita bangkit mendepani cabaran semasa,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply