LABUAN, 7 Mac – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan dengan membawa seorang kanak-kanak menghidap penyakit leukemia dari Kota Kinabalu ke Tawau dengan menggunakan helikopter EC 725, hari ini.
TUDM dalam hantaran di laman sosialnya berkata, pesakit, adik Ukail Wafiq Sudirman, berusia 7 tahun sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan penerbangan ihsan tersebut bagi membawa pulang adik Ukail untuk jagaan keluarga di rumahnya di Tawau.
“Pesawat helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron diterbangkan dari Pangkalan Udara Labuan semalam bagi melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit leukemia ‘Refractory Relapse T-cell Acute Lymphoblastic Leukemia’ dari Kota Kinabalu ke Tawau,
“Pesawat yang dikendalikan oleh Komander Pesawat, Kapten Mohamad Nor Ilham Mohamed Anis TUDM dan Pembantu Juruterbang, Kapten Mohamad Horas Matupang Kardi TUDM telah mengambil pesakit di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu,” katanya.
Pesakit tersebut seterusnya diterbangkan ke Tawau pada jam 7.00 malam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Tawau jam 8.50 malam.
Turut sama dalam penerbangan ialah seorang doktor perubatan, Kapt (Dr) Tzai Meng Onn dan dibantu oleh Pbt Muhammad Faiz Azmi dari 818 RSAT, Pangkalan Udara Labuan. –airtimes.my