KUALA LUMPUR, 1 Mac – Seramai 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi bersepadu itu turut merampas sebuah bot dan 8 kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 161 bot dan kapal di perairan negara melalui 5 aktiviti penglihatan,
“Selain itu, seramai 6 orang PATI turut diusir menerusi 3 operasi pengusiran,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Melalui Op Benteng semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 453 sekatan jalan raya (SJR).
“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 398 SJR, Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM 9 SJR),” ujarnya.
Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 611 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada jumlah itu, 584 telah dikompaun 27 individu direman,
“Antara kesalahan ingkar SOP adalah tidak memakai pelitup muka (90); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (91); tiada penjarakan fizikal (169); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan pelanggan (122); premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (30); keluar rumah tanpa alasan munasabah (25) dan lain-lain (12),” ujarnya. – airtimes.my