PORT DICKSON, 1 Mac – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini menegaskan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan rakyat adalah penting dalam menghadapi ancaman pada masa kini.
Menurut beliau, era peperangan generasi kelima menuntut TDM untuk mengimbangi keupayaan untuk membendung ancaman yang kompleks.
“Strategi pertahanan yang berkonsepkan secara menyeluruh merangkumi kerjasama dengan kerajaan dan rakyat telah dirangka untuk hadapi ancaman masa kini,” kata Panglima Tentera Darat semasa menyampaikan perutusan sempena Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson.
Beliau menambah, tema “Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara” dipilih kerana bertepatan dengan konsep strategi tersebut.
“Tema ini dipilih bersesuaian dengan komitmen TDM yang mengutamakan kerjasama dengan pihak kerajaan serta masyarakat,
“TDM sentiasa komited dalam membantu kerajaan dan rakyat bukan sahaja di alam situasi konflik, tetapi juga ketika menghadapi bencana,” ujarnya.
Menurut beliau, TDM juga turut terlibat memberikan pelbagai bentuk bantuan semasa bencana
alam seperti bantuan semasa banjir melalui perlaksanaan Op Murni.
“Melalui Program Jiwa Murni, TDM berkerjasama dengan masyarakat untuk membaik pulih kediaman dan kemudahan awam,
“Perlaksanaan program ini jelas mencerminkan perhubungan yang erat antara TDM, agensi-agensi kerajaan dan rakyat,” kata Zamrose.
Selain itu, beliau turut menjelaskan TDM sentiasa bersiap sedia untuk berkerjasama dengan agensi kerajaan termasuk agensi penguatkuasaan.
Menurutnya, kerjasama ini dapat dilihat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19 melalui Op Penawar dan Op Benteng.
“Kedua-dua operasi ini memperlihatkan kejayaan yang sangat signifikan oleh Tentera Darat Malaysia,
“Selain itu, kita diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” kata Zamrose.
Tambahnya, Timbalan Panglima Tentera Darat telah dilantik sebagai Pengarah Projek Bersama dalam Kumpulan Kerja Imunisasi COVID-19 (COVID-19 Immunisation Task Force).
Terdahulu, Zamrose menyempurnakan Perbarisan Hari TDM ke-88 di PUSASDA yang melibatkan seramai 120 Pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat. – airtimes.my