Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM hantar 2,880kg bekalan makanan, keperluan asas ke rumah panjang di Bintulu

TUDM hantar 2,880kg bekalan makanan, keperluan asas ke rumah panjang di Bintulu

by Air Times News Network

BINTULU, 20 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengaturgerak helikopter EC-725AP untuk melaksanakan misi bantuan penghantaran 2,880 kilogram (kg) bekalan makanan dan keperluan asas kepada dua penempatan rumah panjang di daerah Bintulu, Sarawak, semalam.

TUDM dalam kenyataan berkata, dua penempatan terlibat adalah Rh Ugop Ak Umpin dan Rh Saba Ak Mergi terputus bekalan makanan akibat sekatan pergerakan 14 hari yang dikenakan kepada penduduk disitu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Sarawak ekoran terdapat beberapa kes positif.

“Misi bantuan yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang diwakilkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing bersama Kementerian Pertahanan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, helikopter EC-725AP dari No 5 Skuadron bertanggungjawab melaksanakan penugasan bantuan ini membabitkan penghantaran sebanyak 2,880 kilogram (kg) bekalan makanan dan keperluan asas seperti beras, sardin, mi segera, telur, gula, garam dan minyak diesel.

“Operasi ini diketuai Mejar Megat Suhaide Megat Daud TUDM selaku juruterbang dan dibantu pembantu juruterbang, Kapten Shamie Hazim Samsu TUDM serta Kuartermaster Udara, PW U I Zakaria Othman bersama tiga anggota kejuruteraan,

“Pelaksanaan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas diambil dari tempat pengumpulan barang bantuan di Lapangan Terbang Bintulu dan seterusnya diterbangkan ke lokasi penempatan rumah panjang tersebut,

“Misi yang bermula pada jam 10 pagi telah selesai sepenuhnya jam 1.00 petang melibatkan dua sortie penerbangan,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!