KUALA LUMPUR, 20 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi kepercayaan penuh oleh kerajaan dalam membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pelan tersebut bagi memastikan keseluruhan program imunisasi melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dapat dilaksanakan dengan teratur, mencapai matlamat serta mengurangkan sebarang pembaziran penggunaan vaksin berkenaan.
“Melalui CITF yang diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dengan dibantu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Panglima Tentera Darat, ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara,
“Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu KKM dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ATM berperanan dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran atau penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.
Dalam pada itu, Affendi berkata, pihaknya juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warga ATM sebagai penerima vaksin berkenaan.
“Ini berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak tersebut,
“Pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan Negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’,” katanya.
Sehubungan itu, melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.
“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan,
“Ia juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” ujarnya.
Tambahnya, peranan dan penglibatan aktif ATM dalam program imunisasi ini bakal membantu memperlahankan proses penularan wabak COVID-19 bukan sahaja di kalangan warga petugas barisan hadapan malah di kalangan masyarakat Malaysia keseluruhannya.
“ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi wabak COVID-19,
“Kerjasama setiap lapisan peringkat masyarakat juga amat diperlukan dalam kita menjayakan program imunisasi ini seterusnya dapat membendung keseluruhan penularan wabak berkenaan,” jelasnya. – airtimes.my