[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Y5WkZVmdecg[/embedyt]
SEREMBAN, 20 Feb – Seramai 42,120 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian vaksin tersebut akan melibatkan 84,240 dos di mana setiap seorang anggota akan menerima dua dos suntikan.
“Saya percaya pada bulan Mac nanti kita (anggota ATM) akan terima vaksin memandangkan tentera juga adalah barisan hadapan,
“Ini termasuk juga anggota yang mengawal Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Operasi Benteng (Op benteng) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Jadual pemberian vaksin akan ditetapkan dan dimaklumkan pada pihak ATM,” katanya ketika sidang media selepas membuat lawatan kebajikan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Sikamat, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, anggota ATM juga akan ditugaskan bagi membuat kawalan keselamatan mulai esok sehingga proses pemberian suntikan kepada masyarakat setempat.
“Kita diberikan tangungjawab oleh kerajaan untuk terlibat keseluruhan rantaian dari mula terima vaksin sehingga ke tempat penyimpanan vaksin, termasuklah tugasan untuk mengiringi penghantaran vaksin ini ke seluruh negara,
“Kita juga akan membantu pihak KKM ketika program suntikan dilaksanakan terutama yang melibatkan penglibatan orang ramai di tempat terbuka seperti stadium dan dewan,” jelasnya.
Ismail Sabri turut menjelaskan ATM sentiasa bersedia untuk menjadikan Hospital ATM sebagai pusat penyimpanan pusat penyimpanan Vaksin Pzer-BioNTech COVID-19 yang akan diterima esok bagi membantu kerajaan sekiranya diperlukan.
“Insya-Allah, kita bersedia berbincang dengan Hospital Angkatan Tentera lagi pun ATM juga banyak terlibat dalam urusan COVID-19 termasuk menyediakan Hospital Medan ATM di Sabah sebelum ini,” ujarnya.
Terdahulu beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Briged) di Kem Rasah bagi mendengar serta memahani sendiri fungsi dan peranan formasi-formasi di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dalam lawatan ini juga Ismail Sabri menyatakan, Kementerian Pertahanan telah meluluskan projek pembinaan dewan serba guna di Kem Rasah bagi mengantikan dewan yang sedia ada.
“Sebentar tadi saya telah meluluskan pembinaan dewan serba guna dengan kos projek bernilai RM5 juta. Ia akan dibina selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun depan,” tambahnya. -airtimes.my