PORT DICKSON, 20 Feb – Seramai 1,769 perajurit muda berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 192/20 dan Wanita Siri 46/20 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Majlis perbarisan tersebut telah disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Zamrose berkata, kejayaan yang dilakar pada hari ini tidak terbina tanpa pengorbanan, rasa syukur dan perasaan terima kasih.
“Setiap kejayaan itu terhasil dengan segalanya disatukan iaitu usaha, pengorbanan, doa dan tawakal itu adalah resepi bagi kejayaan saudara dan saudari (Perajurit Muda) pada hari ini,
“Upacara tamat latihan pada hari ini menjadi bukti bahawa kesungguhan dan kecekalan saudara dan saudari dalam menempuh jerih perih latihan dan ujian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Zamrose berbangga dengan pencapaian semua Perajurit Muda siri ini kerana berjaya menamatkan latihan, walaupun dalam situasi pandemik COVID-19.
“Dengan kepatuhan kepada prosedur standard operasi (SOP) yang digariskan, terbukti pada hari ini saudara dan saudari (Perajurit Muda) telah berjaya menamatkan latihan sebagai seorang anggota Tentera Darat,
Beliau turut mengingatkan kepada semua Perajurit Muda agar sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme, keterampilan dan akhlak yang terpuji.
“Sebagai pahlawan negara yang menjadi benteng utama pertahanan negara, Perajurit Muda perlu sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menunaikan amanah ini,
“Elakkan diri daripada terjerumus ke dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, buli, serta kes-kes pelanggaran disiplin lain yang boleh mencemarkan imej Tentera Darat (TD). TD tidak akan berkompromi dengan kesalahan-kesalahan sedemikian,” ujarnya.
Pada siri kali ini, seramai 1,538 Perajurit Muda lelaki dan 231 Perajurit Muda wanita telah berjaya menamatkan latihan.
Kesemua Perajurit Muda ini telah memulakan latihan sejak 28 Ogos tahun lepas, dan menjalani latihan asas meliputi aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang serta aspek pengukuhan kerohanian dan moral.
Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul anak kelahiran Kuching, Sarawak, Mohammad Irwan Kipawi, manakala Anugerah Keseluruhan Wanita Terbaik disandang oleh Nurul Ain Najwa Mhd Isa dari Jelebu, Negeri Sembilan.
Sofwan Syahmi Norazizi, dari Ipoh, Perak menerima anugerah Perajurit Muda Akademi Terbaik manakala Perajurit Kecergasan Jasmani Terbaik diraih Adi Ali dari Keningau, Sabah.
Manakala Anugerah Perajurit Muda Kawad Terbaik disandang Mohamad Fairus Hazman, dari Kuching, Sarawak, Justin Robinson Jonathan yang berasal dari Simunjan, Sarawak dipilih Perajurit Muda Penembak Terbaik dan Akademik Wanita Terbaik dirangkul Nur Syazana Tarmuji, dari Ipoh, Perak.
Turut hadir pada majlis ini, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi. – airtimes.my