Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada kesudahan, 39 PATI ditahan cuba ceroboh sempadan negara

Tiada kesudahan, 39 PATI ditahan cuba ceroboh sempadan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi bersepadu itu turut merampas sebuah bot atau kapal dan 2 kenderaan darat.

“Pihak berkuasa turut mengesan 118 buah bot dan kapal di perairan negara melalui 4 aktiviti penglihatan dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Op Benteng Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 543 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 488 SJR, Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya.

Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 443 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), semalam.

“Daripada jumlah itu, 404 telah dikompaun 39 individu direman,

“Antara kesalahan ingkar SOP adalah tiada penjarakan fizikal (136); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan pelanggan (84); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (68); tidak memakai pelitup muka (64);premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (29); keluar rumah tanpa alasan munasabah (20); aktiviti perjudian (19): membawa penumpang berlebihan (15); ingkar arahan kuarantin (2) dan lain-lain (6),” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!