JAKARTA, 19 Feb – Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) telah merancang dalam tempoh masa yang terdekat untuk memperolehi sejumlah Alat Utama Sistem Persenjataan (ALUTSISTA) moden.
Menurut Kepala Staf Angkatan Udara (KSAU – Panglima Tentera Udara), Marsekal Fadjar Prasetyo ketika ditemui di Mesyuarat Kempimpinan Tahunan Tentera Udara (RAPIM TNI 2021), perolehan aset ALUTSISTA ini akan direalisasikan secara berperingkat.
“TNI-AU lebih cenderung untuk memilih pesawat tempur F-15EX buatan Boeing dan Dassault Rafale buatan syarikat Perancis, Dassault Aviation,
“Selepas perolehan pesawat tempur tersebut, TNI-AU juga akan memperolehi pesawat angkut C-130J dan juga pesawat tanpa pemandu (UAV) dengan kemampuan Medium Altitude Long Endurance (MALE),” katanya.
Menurut dokumen mesyuarat RAPIM TNI 2021, Indonesia merancang untuk membeli 36 pesawat tempur Rafale dan 8 pesawat tempur F-15EX.
Dijangka 6 pesawat F-15EX akan diperolehi pada tahun 2022.
Seiring dengan penambahan aset terbaru, TNI-AU juga akan menaik taraf pesawat tempur dan aset pertahanan yang lain pada tahun ini.
“Semua pihak yang berkepentingan termasuk Kementerian Pertahanan dan TNI-AU telah menganalisis dan membincangkan rancangan untuk menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan perolehan aset tempur ini,
“Ini adalah langkah-langkah TNI-AU untuk memperolehi aset pertahanan yang terbaik di rantau ini bagi menyokong segala keperluan operasi semasa,” tambah Prasetyo. – airtimes.my