LADAKH, 18 Feb – Tentera China telah merobohkan puluhan penempatan dan memindahkan kenderaan tenteranya di sepanjang perbatasan Himalaya yang sering menjadi pertikaian antara China dan India.
Beberapa keping foto yang dikeluarkan oleh Tentera Darat India juga menunjukkan tentera China sedang merobohkan penempatan dan kereta kebal dibawa keluar dari kawasan penempatan tersebut.
“Tindakan serupa juga berlaku dari pihak kami,” kata seorang pegawai tentera India yang meminta namanya tidak disiarkan.
Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, turut menyatakan kedua-dua negara telah bersetuju untuk menarik kembali pasukan di sekitar Pangong Tso.
“Proses menarik balik anggota tentera akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.
Menerusi gambar satelit yang dikeluarkan oleh Maxar technologies, ia menunjukkan beberapa penempatan di kawasan tebing utara Pangong Tso telah pun dipindahkan.
Ketegangan persempadanan itu mula meningkat pada bulan April tahun lalu apabila India menuduh tentera China menceroboh sempadannya, namun China menolak dakwaan itu dengan mengatakan ia berperasi di kawasannya sendiri. – airtimes.my