Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Sandakan rampas 103,460 batang rokok seludup bernilai RM18 ribu

APMM Sandakan rampas 103,460 batang rokok seludup bernilai RM18 ribu

by Nurulhuda

SANDAKAN, 18 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan telah merampas sejumlah 103,460 batang rokok putih dan kretek dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai kira-kira RM18,978 ribu di Perkampungan Air Batu 3, Sandakan pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bertindak atas maklumat daripada Bahagian Perisikan ESSCOM, anggota APMM diaturgerak bagi melakukan serbuan ke atas premis tidak bernombor dan tiada berpenghuni yang disyaki menjadi tempat penyimpanan rokok seludup.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit pada jam 2.00 pagi semalam, menemui lebih kurang 103,460 batang rokok putih serta kretek tidak bercukai disembunyikan di ruangan dinding dan lantai premis berkenaan,

“Rokok pelbagai jenama yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM18,978.00 tanpa cukai, manakala cukai rokok dianggarkan bernilai RM70,181.00,

“Rokok-rokok ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di pasaran tempatan,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!