LAHAD DATU, 17 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot nelayan dipercayai melanggar syarat lesen perikanan di kawasan perairan laut Tanjung Malandong, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.00 pagi itu, anggota PPM Lahad Datu yang menjalankan satu operasi berjaya mengesan sebuah bot nelayan jenis pukat tunda sedang menangkap ikan di kawasan perairan tersebut yang mana jarak kurang dari 3 batu nautika dari pesisir pantai.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, anggota PPM telah menahan juragan dan bot yang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat hanyut di lokasi tersebut.
“Rampasan yang dibuat terdiri daripada pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat lebih kurang 200 kg,
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti PPM Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen,” katanya menerusi hantaran di media PPM W4 Sabah.
Dalam pada itu, Gan berkata, orang ramai diminta untuk sentiasa menyalurkan sebarang maklumat terutamanya melibatkan kesalahan dan jenayah di perairan negara kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di nombor 013-2831197 atau berhubung ke bilik Gerakan PPM Lahad Datu di talian 013-9808084′ bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – airtimes.my