KUALA LUMPUR, 17 Feb – Seramai 1,356 penduduk di Felda Triang 3, Bera, Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat setelah 79 orang disahkan sebagai kontak rapat kepada beberapa kes positif pandemik COVID-19 di kawasan berkenaan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 9 kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Febuari 2021, seramai 79 kontak rapat dikenalpasti tinggal di lokaliti ini,
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan bermula 18 Februari hingga 3 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1,345 orang penduduk.
Menurutnya, arahan ini akan memudahkan pihak KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat serta memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti. –airtimes.my