PUTRAJAYA, 15 Feb – Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud hari ini menegaskan pengusiran 1,200 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar tidak melibatkan mana-mana pemegang kad UNHCR dan etnik Rohingya.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, proses tersebut merupakan prosedur biasa pengusirang warga asing dalam Depot Imigresen.
“Pihak kami ingin menjelaskan bahawa tiada pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya yang terlibat di dalam program penghantaran (repatriation) pulang ini,
“Yang diusir adalah para tahanan Depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Pengusiran tersebut akan melibatkan kapal Tentera Laut Myanmar pada 23 Februari ini. Namun, lokasi pengusiran tidak didedahkan setakat ini.
Sementara itu, Khairul menjelaskan jumlah PATI diusir pulang pada tahun lalu adalah lebih rendah berbanding 2019.
Untuk rekod, seramai 37,038 warga asing diusir pulang pada tahun 2020. Angka ini melibatkan warganegara Indonesia 17,002, Bangladesh 5,450, Myanmar 3,322, Thailand 2,358, dan Pakistan 1,493.
Pada tahun 2019, seramai 59,114 warga asing telah dihantar ke negara asal.
Ketua Pengarah Imigresen menjelaskan pengurangan angka tersebut adalah berikut penutupan pintu sempadan oleh negara-negara yang terlibat.
“Penutupan sempadan ini sekaligus mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut,
“Situasi ini memberi kesan kepada proses pengusiran warga asing di depot tahanan ke negara asal mereka,” jelas Khairul. – airtimes.my