KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu pada sambutan Tahun Baru Cina bagi memastikan masyarakat dapat menyambut perayaan tersebut dalam keadaan selamat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SOP tersebut termasuklah sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berjumpa keluarga masing-masing.
“Sekatan ini dilaksanakan bukan untuk menyekat kebebasan saudara dan saudari, tetapi demi untuk kebaikan bersama bagi melindungi nyawa, terutamanya ahli keluarga,
“Ini penting kerana keutamaan kita semua pada masa ini ialah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baru Cina 2021 yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Beliau bekata, sambutan Tahun Baru Cina masih dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan walaupun terdapat pelbagai rintangan.
“Tradisi makan besar atau ‘reunion dinner’ yang menjadi amalan masyarakat Cina pada malam sebelum hari pertama perayaan masih dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama ahli keluarga.
“Mengambil kira kepentingan tradisi ini, kerajaan sudah memberi sedikit kelonggaran iaitu dengan membenarkan reunion dinner dengan ahli keluarga yang tinggal berdekatan, tidak melebihi 15 orang pada malam sebelum Tahun Baharu Cina,
“Aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadat masyarakat Cina juga dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Muhyiddin turut menasihati masyarakat supaya terus mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa dan lindungi ahli keluarga terutamanya dalam golongan berisiko tinggi.
Pada masa yang sama, beliau meningatkan kepada masyarat agar menjadikan perayaan ini sebagai sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta titik pengukuhan sikap saling menghormati.
“Perayaan ini yang akan disambut esok menjadi bukti sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Kita perlu mengekalkan kekuatan ini yang merupakan salah satu teras utama perpaduan negara yang kita cintai ini,
“Saya berharap sambutan ‘Year of the Ox’ ini akan meningkatkan semangat dan memberi kekuatan baharu kepada kita dalam meneruskan usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan seterusnya memulihkan ekonomi negara. Semoga kita dapat kembali mengecapi kemakmuran bersama,” ujarnya. –airtimes.my