KOTA TINGGI, 11 Feb – Seramai 9 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia telah ditahan oleh Tentera Darat Malaysia, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga (3Div) dalam satu kenyataan berkata, kesemua PATI terbabit ditahan di sekitar Sungai Buntu, Kota Tinggi pada pukul 11.20 pagi.
“Tentera telah bertindak atas maklumat dari nelayan yang melaporkan kehadiran bot mencurigakan di pantai dan dipercayai membawa PATI,
“Tim Quick Reaction Force (QRF) telah digerakkan bagi mengepung dan menjejak PATI,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, 9 orang PATI terbabit telah ditahan dalam 2 tangkapan berasingan.
“2 orang PATI telah ditahan ketika menunggu kenderaan pada pukul 10 pagi,
“Pada pukul 11.20 pagi, 7 lagi PATI ditangkap ketika bersembunyi dalam belukar berhampiran tempat tangkapan pertama,” jelasnya.
Kesemua PATI yang ditahan adalah terdiri daripada 6 lelaki dan 3 wanita berusia 20 hingga 50 tahun.
3 Div menjelaskan, PATI terbabit dipercayai baru tiba di negara ini.
Turut dirampas adalah wang tunai Malaysia dan Indonesia. Selain itu, 12 telefon bimbit, 2 utas jam tangan dan pelbagai barang kemas.
Kesemua PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang bagi menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia. – airtimes.my
Galeri gambar: