SUBANG, 11 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerbangkan 6,650 kilogram (kg) bekalan makanan asas sumbangan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Ihklas ke Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
TUDM dalam kenyataan berkata, barangan keperluan makanan tersebut adalah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik COVID-19 yang melanda.
“Antara barangan sumbangan kebajikan yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin,
“Sebanyak 1,000 pek daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asas makanan akan diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 meliputi kawasan Semporna, Tawau dan Lahad Datu dengan jumlah sumbangan bernilai RM 1.4 juta,
“Ianya adalah hasil sumbangan kebajikan yang disalurkan melalui Yayasan Ikhlas iaitu sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009,” katanya.
Pesawat telah dikendalikan oleh Mejar Mohd Shafique TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Mohamad Ridhwan TUDM selaku pembantu juruterbang.
Selain itu, misi penerbangan ini turut disertai oleh 3 orang loadmaster pesawat.
“Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal jam 5.00 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M,” ujarnya. -airtimes.my
Galeri Gambar: