Home Pertahanan dan Keselamatan Sindiket orang tengah Program Rekalibrasi ditumpaskan – Ketua Pengarah Imigresen

Sindiket orang tengah Program Rekalibrasi ditumpaskan – Ketua Pengarah Imigresen

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket orang tengah Program Rekalibrasi dan menahan 2 orang dalang yang menipu warga asing dalam satu operasi khas di Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi ini hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas JIM Putrajaya dan Pulau Pinang.

“Risikan telah dijalankan selama lebih kurang satu bulan bagi mengesan dan menumpaskan sindiket yang mengatur warga asing untuk mendaftar dalam Program Rekalibrasi dengan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan,

“Hasil operasi itu, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang lelaki warga India berumur 35 tahun ditahan kerana mengatur penyertaan Program Rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, modus operasi sindiket ini adalah dengan mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan imigresen dan menjanjikan untuk membawa ke pejabat imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temu janji melalui Sistem Temujanji Online (STO).

“Setiap warga asing dikenakan bayaran di antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang sebagai bayaran kepada sindiket untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temujanji melalui STO seperti ditetapkan oleh JIM,

“Sindiket ini disyaki bergerak aktif di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor,” ujarnya.

Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah kereta jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000.

Tambahnya, kedua-dua dalang tersebut ditahan atas kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Lelaki warga tempatan dikenakan reman selama tujuh hari manakala seorang lagi lelaki warganegara India ditahan di imigresen Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.

Pada masa sama, Khairul Dzaimee menegaskan JIM tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan Program Rekalibrasi dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan orang tengah dan tidak menggunakan khidmat agen bagi menyertai program ini. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!