Home Pertahanan dan Keselamatan Muhyiddin ucap takziah atas pemergian Prebet Ujang

Muhyiddin ucap takziah atas pemergian Prebet Ujang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak kerajaan Malaysia hari ini mengucap takziah atas pemergian veteran tentera dalam era Perang Dunia Kedua, Prebet Ujang Mormin, petang semalam.

Muhyiddin, dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosialnya, turut mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan bersemadi dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga segala jasa serta pengorbanan yang telah dicurahkan arwah mendapat ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah SWT,

“Allahyarham ialah perwira negara yang berjuang bersama-sama pejuang tanah air, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang Jepun sekitar tahun 1942,” katanya.

Beliau berkata, sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.

“Alfatihah. Perginya seorang veteran perang yang telah menyumbang bakti kepada negara. Jasamu dikenang,

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham PBT Ujang Bin Mormin, veteran ATM yang telah kembali ke Rahmatullah,

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama dengan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Petang semalam, Allahyarham Prebet Ujang,100, disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan COVID-19. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!