KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak mulai esok sehingga 24 Februari depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.
“Sehingga 9 Februari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif COVID-19 telah direkodkan,
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan PKPD ini dilaksanakan adalah untuk memudahkan pihak KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 orang penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.