PERLIS, 9 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia (Mk 30 Briged) telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) sempena sambutan Hari Tentera Darat yang ke-88 peringkat negeri Perlis.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas MK 30 Bgd, Leftenan Kolonel Shamsul Bahari Che Soh di Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Ramai, semalam.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, program yang dilaksanakan ini mampu mengukuhkan sokongan rakyat terhadap TDM di samping meningkatkan tindakan membina keyakinan (Confidence Building Measures) diantara penduduk dan tentera.
“Program yang berlangsung sehingga 28 Februari 2021 ini melibatkan anggota dari Kem 30 Briged, Batalion Kelima Rejimen Sempadan (5 RS) dan Skuadron Keenam Rejimen Askar Jurutera Diraja (6 Skn RAJD),
“PJM yang dilaksanakan merangkumi pembaikan masjid lama yang akan dijadikan Pusat Komuniti Masyarakat serta membaiki dan mengecat rumah asnaf di kawasan berhampiran,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Memerintah 5 RS, Pegawai Pemerintah 6 Skn RAJD, dan wakil Majlis Perbandaran Kangar. -airtimes.my