Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera Darat cekup 27 PATI Indonesia baru mendarat di Johor

Op Benteng: Tentera Darat cekup 27 PATI Indonesia baru mendarat di Johor

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 9 Feb – Hasrat 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk memasuki negara ini tidak kesampaian apabila mereka ditangkap oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Johor, tengah malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut adalah hasil pemerhatian anggota pos pemerhati yang mengesan pergerakan sebuah bot yang mendarat berhampiran Kuil Sri Muneeswaran, Sungai Rengit, Kota Tinggi pada jam 11.50 malam.

“Anggota daripda pos pemerhati telah melakukan serbuan di kawasan tersebut dan berjaya menahan 6 orang PATI yang sedang berkumpul,” katanya.

Pihak tentera kemudian mengaturgerakkan Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) juga untuk membuat penjejakan saki baki PATI.

“Anggota pasukan telah menahan seramai 21 PATI hasil penjejakan dan pengepungan di kawasan sekitar Balai Bomba Sungai Rengit dan Tokong Bao An Gong, Jalan Jenahak, Sungai Rengit,

“Kesemua hasil tangkapan PATI yang berjaya ditahan seramai 13 lelaki dan 14 perempuan berusia sekitar 21 hingga 52 tahun dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 55,659.21 melibatkan wang tunai Malaysia RM 11,508.45, matawang Indonesia IDR 133,500.00 (RM 5,574.49) bersama 33 buah telefon bimbit, 14 utas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas.

“Semua PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya.

Selain itu, Tim QRF meneruskan operasi menjejak dan mencari saki baki PATI di sekitar kawasan tersebut. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply